Pengeluaran getah asli bagi tahun 1988 menunjukkan prestasi yang baik. Merujuk kepada statistik yang diedarkan oleh Jabatan Statistik Malaysia, pada tahun tersebut pengeluaran getah asli telah mencapai satu puncak baru yang belum pernah tercapai sebelum ini iaitu dengan pengeluaran 1.658 juta tan. Pengeluaran ini adalah petambahan sebanyak 79,343 tan atau 5% daripada pengeluaran tahun 1987. Peningkatan yang amat ketara ini kebanyakannya adalah hasil sumbangan sektor kebun kecil. Sektor ini telah mencatat peningkatan sebanyak 83,062 tan atau 8% berbanding dengan pengeluaran tahun 1987. Sebaliknya, sektor estet telah mencatat pengurangan pengeluaran 3,719 tan atau 0.8% berbanding dengan tahun 1987. Jabatan Pengembangan dan Kemajuan, khasnya melalui Bahagian Khidmat Nasihat (BKN), telah sedikit sebanyak berperanan dalam peningkatan hasil ini dengan lawatan-kajian dan laporan yang telah mereka sediakan. Pendekatan yang diamalkan oleh BKN diterbitkan dalam buku panduan ini.